KENAPA AIR KENCING
BUDAK LELAKI SAHAJA NAJIS MUKHAFFAFAH?
Soalan:
Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabakatuh. Ustaz yang
dihormati, kenapa air kencing budak lelaki yang menyusu susu ibu dikira sebagai
najis mukhaffafah, manakala kencing budak perempuan yang menyusu susu ibu
dikira sebagai najis mutawassitoh? Apakah beza antara kedua-duanya menurut
pandangan para ulama rahimahumullahu ta‘ala? Terima kasih ustaz.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalamu warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saudara
yang saya kasihi, semoga Allah subhanahu wata‘ala mengurniakan kepada kita ilmu
yang berguna dan kefahaman yang mendalam tentang agama-Nya yang benar.
Berhubung persoalan ini, Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala berkata
dalam kitab beliau, al-Majmu‘ Syarhul Muhazzab (المَجْمُوْعُ شَرْحُ المُهَذَّبِ) (2/589):
ويُجْزِئُ في بولِ الصبيِّ الذي لم يَطْعَمِ الطعامَ النضحُ، وهو أن
يَبُلَّه بالماءِ، وإن لم يَنْزِلْ عنه. ولا يجزئُ في بولِ الصبِيَّةِ إلا الغَسْلُ،
لما رَوَى عليٌّ رضي الله عنه أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم قال في بولِ الرضِيْعِ:
يُغْسَلُ من بولِ الجاريةِ، ويُنْضَحُ من بولِ الغلامِ.
Ertinya: Dalam (menyucikan sesuatu yang
terkena) air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan (yakni
kanak-kanak lelaki yang hanya minum susu ibu), memadailah dengan direnjiskan
air (pada sesuatu yang terkena air kencing tersebut), iaitu dengan membasahkan
tempat tersebut dengan air sekalipun air tidak turun (tidak mengalir) daripadanya
(yakni daripada sesuatu yang terkena najis itu). Manakala dalam (menyucikan sesuatu
yang terkena) air kencing kanak-kanak perempuan pula tidaklah memadai melainkan
dengan membasuhnya sahaja kerana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ali radhiyallahu
‘anhu bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda tentang air
kencing kanak-kanak lelaki yang masih menyusu, ‘‘Dibasuh dengan sebab air
kencing kanak-kanak perempuan, dan direnjiskan air dengan sebab air kencing
kanak-kanak lelaki.’’
Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala
menyebut bahawa hadis Sayyidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ini diriwayatkan oleh
Imam Abu Dawud, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim rahimahumullahu ta‘ala
dalam al-Mustadrak. Imam an-Nawawi rahimahullahu
ta‘ala juga menukilkan bahawa hadis ini telah dihukum oleh Imam at-Tirmizi rahimahullahu
ta‘ala sebagai hadis hasan, dan dihukum oleh Imam al-Hakim rahimahullahu ta‘ala
pula sebagai hadis hasan sahih.
Oleh itu, tiada sebab lain yang
membezakan antara air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan melainkan sebab
naqli semata-mata, berdasarkan hadis di atas. Maka sesiapa yang benar-benar beriman
kepada Allah subhanahu wata‘ala dan Rasul-Nya sollallahu ‘alaihi wasallam tidak
akan mempersoalkan hukum Allah dan Rasul-Nya sekalipun tidak difahami sebabnya
oleh akal mereka. Bahkan mereka akan berkata:
سَمِعْنَا
وَأَطَعْنَا، غُفْرَانَكَ رَبَّنَا، وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ
Ertinya: Kami dengar dan
kami taat. Kami memohon pengampunan-Mu, wahai Tuhan kami. Hanya kepada-Mu
jualah tempat kembali (selepas mati nanti).
Surah al-Baqarah (الْبَقَرَةِ):
285
Semoga Allah
subhanahu wata‘ala menjadikan kita semua sebahagian daripada para hamba-Nya
yang benar-benar beriman, taat dan patuh kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya
sollallahu ‘alaihi wasallam di dunia dan akhirat. Amin.
وَاللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ.
Al-Faqir ila rahmatillahi waridhwanihi waghufranih:
Abu ‘Abdil Wadud Wan Muhammad Nasir bin Wan ‘Abdil Wahhab,
pagi Ahad, 7 Sya‘ban 1442 Hijriyyah = 21 Mac 2021 Miladiyyah.
Sila layari blog saya: https://ustazwanmohdnasir.blogspot.com/