Isti'azah

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam (dengan tahi bintang, dilaknat dan dijauhkan daripada segala kebaikan).

Basmalah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

(Aku mulakan hanya) dengan nama Allah Yang Maha Merahmati (seluruh makhluk-Nya di dunia), lagi Maha Mengasihani (di akhirat akan para hamba-Nya yang beriman).

Salam

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ

Semoga keselamatan, kesejahteraan, rahmat dan keberkatan daripada Allah Ta‘ala dilimpahkan ke atas kalian.

Ahlan wasahlan

أَهْلًا وَسَهْلًا وَمَرْحَبًا بِكُمْ جَمِيْعًا فِيْ هٰذِهِ الصَّفْحَةِ الْمَقْصُوْدَةِ مِنْهَا الدَّعْوَةُ إِلَى سَبِيْلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ. هَدَانِيَ اللهُ تَعَالَى وَإِيَّاكُمْ جَمِيْعًا لِدِيْنِهِ الْقَوِيْمِ، وَصِرَاطِهِ الْمُسْتَقِيْمِ، وَنُوْرِهِ الْمُبِيْنِ. وَجَعَلنَا مِنَ الْهُدَاةِ الْمُهْتَدِيْنَ الرَّاضِيْنَ الْمَرْضِيِّيْنَ فِيْ الدَّارَيْنِ. آمِيْنَ، يَا حَيُّ، يَا قَيُّوْمُ، يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.

Selamat datang kalian ke blog ini yang bertujuan untuk berdakwah ke jalan Allah ‘Azza wajalla. Semoga Allah Ta‘ala memberi hidayah kepada saya dan kalian semua kepada agama-Nya yang betul, jalan-Nya yang lurus dan cahaya-Nya yang jelas lagi menerangi, serta menjadikan kita semua sebahagian daripada para hamba-Nya yang memberi hidayah kepada orang lain, mendapat hidayah pada diri sendiri, yang redha kepada Tuhan mereka, lagi diredhai oleh-Nya di dua alam (dunia dan akhirat). Perkenanlah doa kami, wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Mentadbir seluruh makhluk-Nya dengan sendiri-Nya, wahai Tuhan Yang Mempunyai keagungan dan kemuliaan.

Ikhlaskan niat

Marilah Sama-Sama Kita Ikhlaskan Niat kerana Allah Subhanahu wata‘ala

عَنْ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: «إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ. وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ. وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.»

مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ (أَيْ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ رَحِمَهُمَا اللهُ تَعَالَى)

Ertinya: (Diriwayatkan) daripada Abu Hafs ‘Umar bin al-Khottob radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda, ‘Sesungguhnya segala amalan hanyalah (dinilai, dikira dan sah) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Oleh itu, sesiapa yang hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya (yakni hijrahnya itu diterima dan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wata‘ala). Sesiapa yang hijrahnya adalah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kepada seorang wanita yang dia ingin mengahwininya pula, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kepadanya (yakni hijrahnya itu sia-sia di sisi Allah subhanahu wata‘ala dan tidak diterima oleh-Nya).’”

Muttafaq alaih (yakni diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim rahimahumallahu ta‘ala)

Kenapakah air kencing kanak-kanak lelaki menjadi najis mukhaffafah tetapi air kencing kanak-kanak perempuan pula najis mutawassitoh? 21.3.2021

KENAPA AIR KENCING BUDAK LELAKI SAHAJA NAJIS MUKHAFFAFAH?

Soalan: 

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabakatuh. Ustaz yang dihormati, kenapa air kencing budak lelaki yang menyusu susu ibu dikira sebagai najis mukhaffafah, manakala kencing budak perempuan yang menyusu susu ibu dikira sebagai najis mutawassitoh? Apakah beza antara kedua-duanya menurut pandangan para ulama rahimahumullahu ta‘ala? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Wa‘alaikumussalamu warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saudara yang saya kasihi, semoga Allah subhanahu wata‘ala mengurniakan kepada kita ilmu yang berguna dan kefahaman yang mendalam tentang agama-Nya yang benar.

Berhubung persoalan ini, Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala berkata dalam kitab beliau, al-Majmu‘ Syarhul Muhazzab (المَجْمُوْعُ شَرْحُ المُهَذَّبِ) (2/589):

ويُجْزِئُ في بولِ الصبيِّ الذي لم يَطْعَمِ الطعامَ النضحُ، وهو أن يَبُلَّه بالماءِ، وإن لم يَنْزِلْ عنه. ولا يجزئُ في بولِ الصبِيَّةِ إلا الغَسْلُ، لما رَوَى عليٌّ رضي الله عنه أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم قال في بولِ الرضِيْعِ: يُغْسَلُ من بولِ الجاريةِ، ويُنْضَحُ من بولِ الغلامِ.

Ertinya: Dalam (menyucikan sesuatu yang terkena) air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan (yakni kanak-kanak lelaki yang hanya minum susu ibu), memadailah dengan direnjiskan air (pada sesuatu yang terkena air kencing tersebut), iaitu dengan membasahkan tempat tersebut dengan air sekalipun air tidak turun (tidak mengalir) daripadanya (yakni daripada sesuatu yang terkena najis itu). Manakala dalam (menyucikan sesuatu yang terkena) air kencing kanak-kanak perempuan pula tidaklah memadai melainkan dengan membasuhnya sahaja kerana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda tentang air kencing kanak-kanak lelaki yang masih menyusu, ‘‘Dibasuh dengan sebab air kencing kanak-kanak perempuan, dan direnjiskan air dengan sebab air kencing kanak-kanak lelaki.’’

Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala menyebut bahawa hadis Sayyidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ini diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim rahimahumullahu ta‘ala dalam al-Mustadrak. Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala juga menukilkan bahawa hadis ini telah dihukum oleh Imam at-Tirmizi rahimahullahu ta‘ala sebagai hadis hasan, dan dihukum oleh Imam al-Hakim rahimahullahu ta‘ala pula sebagai hadis hasan sahih.

Oleh itu, tiada sebab lain yang membezakan antara air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan melainkan sebab naqli semata-mata, berdasarkan hadis di atas. Maka sesiapa yang benar-benar beriman kepada Allah subhanahu wata‘ala dan Rasul-Nya sollallahu ‘alaihi wasallam tidak akan mempersoalkan hukum Allah dan Rasul-Nya sekalipun tidak difahami sebabnya oleh akal mereka. Bahkan mereka akan berkata:

سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا، غُفْرَانَكَ رَبَّنَا، وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ

Ertinya: Kami dengar dan kami taat. Kami memohon pengampunan-Mu, wahai Tuhan kami. Hanya kepada-Mu jualah tempat kembali (selepas mati nanti).

Surah al-Baqarah (الْبَقَرَةِ): 285

Semoga Allah subhanahu wata‘ala menjadikan kita semua sebahagian daripada para hamba-Nya yang benar-benar beriman, taat dan patuh kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya sollallahu ‘alaihi wasallam di dunia dan akhirat. Amin.

وَاللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ.

Allah subhanahu wata‘ala jualah yang lebih mengetahui.
 
Disediakan oleh:
Al-Faqir ila rahmatillahi waridhwanihi waghufranih:
Abu ‘Abdil Wadud Wan Muhammad Nasir bin Wan ‘Abdil Wahhab,
pagi Ahad, 7 Sya‘ban 1442 Hijriyyah = 21 Mac 2021 Miladiyyah.
Sila layari blog saya: https://ustazwanmohdnasir.blogspot.com/