بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
KEWAJIPAN
MENUTUP AURAT
Pendahuluan
Menutup
aurat merupakan satu kewajipan yang telah disepakati oleh semua ilmuan Islam
sejak zaman para sahabat Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan
keterangan al-Quran dan as-Sunnah. Lelaki dan perempuan adalah sama dalam
tuntutan tersebut, cuma yang berbeza adalah kadar yang wajib ditutup daripada
badan masing-masing. Antara dalil-dalil kewajiban menutup aurat ialah firman
Allah subhanahu wata‘ala,
وَقُلْ
لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوْجَهُنَّ وَلَا
يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ
عَلَى جُيُوْبِهِنَّ وَلاَ يُبْدِيْنَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُوْلَتِهِنَّ أَوْ
ءَابَائِهِنَّ أَوْ ءَابَاءِ بُعُوْلَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ
بُعُوْلَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِيْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِيْ
أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ
التَّابِعِيْنَ غَيْرِ أُولِيْ الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ
الَّذِيْنَ لَمْ يَظْهَرُوْا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ
بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِيْنَ مِنْ زِيْنَتِهِنَّ وَتُوْبُوْا إِلَى
اللهِ جَمِيْعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
سُوْرَةُ
النُّوْرِ: الْآيَةُ 31
Maksudnya: Katakanlah (wahai
Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam) kepada wanita-wanita yang beriman supaya
mereka menahan pandangan mereka (daripada perkara yang haram) dan memelihara
kemaluan mereka (daripada maksiat). Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka
(iaitu aurat mereka) kecuali yang (biasa) nampak daripadanya (iaitu muka dan
tapak tangan). Hendaklah mereka menutup selendang mereka ke atas dada mereka. Janganlah
mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, ayah-ayah
mereka, ayah-ayah kepada suami-suami mereka, anak-anak lelaki mereka, anak-anak
lelaki kepada suami-suami mereka, adik-beradik lelaki mereka, anak-anak lelaki kepada
adik-beradik lelaki mereka, anak-anak lelaki kepada adik-beradik perempuan
mereka, wanita-wanita Islam mereka, hamba-hamba yang mereka miliki, pengikut-pengikut
(pelayan, orang gaji, orang bodoh, pondan dan lain-lain) yang tidak mempunyai
keinginan terhadap wanita atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat
wanita. Janganlah mereka memukul kaki-kaki mereka (ke tanah semasa berjalan)
agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Bertaubatlah kamu semua
kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, semoga kamu berjaya (di dunia dan
akhirat).
Surah an-Nur: ayat 31
Peringatan
Semua hukum yang diutarakan dalam
catatan ringkas ini sebenarnya telah dibincang dan dibentangkan oleh para ulama
rahimahumullah secara terperinci dan disokong oleh dalil-dalil syarak yang
sahih seperti yang dijelaskan dalam buku-buku karangan mereka. Sebahagian daripada
hukum-hakam aurat ada perbezaan pendapat mengenainya di kalangan para ulama
Islam rahimahumullah. Masing-masing ada hujah dan dalilnya. Oleh itu, untuk
mengelakkan kekeliruan dan salah faham, maka penjelasan dalam catatan ini
adalah berdasarkan mazhab Imam asy-Syafi‘i rahimahullah.
Aurat Wanita
Maksud
aurat di sini ialah bahagian badan yang wajib ditutup oleh wanita dan haram
didedahkan. Aurat wanita ada beberapa kategori:
a. Aurat dalam solat: Ketika solat, wanita wajib menutup seluruh badannya
kecuali muka dan tapak tangannya (hujung jari ke pergelangan tangan, bahagian atas
dan bawah), sekalipun ketika berseorangan atau dalam gelap.
b. Aurat ketika bersendirian: Walaupun bersendirian, aurat wajib juga ditutup mengikut
pendapat yang paling sahih di sisi majoriti ulama termasuk para ulama mazhab
Syafi‘i rahimahumullah melainkan jika ada keperluan seperti untuk mandi, buang
air, membersihkan diri atau seumpamanya. Ketika itu, seseorang itu boleh
mendedahkan aurat sekadar perlu. Al-Bukhari dan Muslim rahimahumallah meriwayatkan
bahawa Nabi Musa ‘alaihissalam mandi seorang diri sambil berbogel. Begitu juga
diriwayatkan oleh Muslim rahimahullah tentang Nabi Ayyub ‘alaihissalam. Tetapi
menutup aurat ketika bersendirian adalah lebih baik daripada mendedahkannya kerana
Allah subhanahu wata‘ala lebih wajar dirasa malu kepada-Nya sepertimana yang
disebut dalam hadis Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam.
c. Aurat bersama lelaki mahram: Lelaki mahram
ialah lelaki yang haram dikahwini oleh seseorang wanita selama-lamanya seperti
ayah kandung, saudara lelaki (adik atau abang) dan bapa saudara sebelah ibu
atau sebelah bapa. Aurat wanita bersama mereka adalah di antara pusat
dan lutut. Oleh itu, perempuan boleh mendedahkan bahagian badan yang lain di
hadapan mahramnya dengan syarat selamat daripada keburukan dan maksiat. Jika
perbuatan itu boleh membawa kepada keburukan dan maksiat, maka ia haram
dilakukan.
d. Aurat bersama lelaki ajnabi (asing, yang bukan mahram): iaitu seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangannya
(dari pergelangan tangan hingga hujung jari-jarinya sama ada bahagian atas atau
bawahnya).
e. Aurat bersama wanita muslimah: iaitu sama seperti aurat bersama lelaki mahram di atas.
f.
Aurat bersama wanita kafir: iaitu seluruh badan kecuali bahagian badan yang biasanya
terdedah ketika melakukan kerja rumah atau seumpamanya seperti kepala, leher, kaki,
lengan dan tangan.
g. Aurat ketika ada keperluan: seperti untuk berubat dan seumpamanya. Ketika itu, wanita
harus membuka auratnya sekadar keperluan sahaja. Wanita mestilah memilih doktor
mengikut susunan berikut: (i) Wanita muslimah. (ii) Wanita kafir. (iii) Lelaki
muslim. (iv) Lelaki kafir. Jika doktor itu lelaki bukan mahram, wanita
hendaklah ditemani oleh lelaki mahram atau suaminya.
h. Aurat bersama suami: Tidak ada apa-apa yang wajib ditutup bersama suami. Namun
makruh melihat kemaluan dan disunatkan berselimut semasa melakukan hubungan
jenis.
i.
Aurat hamba perempuan: iaitu di antara pusat dan lutut sahaja samada semasa
solat atau lainnya.
Syarat Pakaian / Penutup Aurat Wanita
a. Tidak menampakkan warna kulit.
b. Tidak menzahirkan bentuk badan
seperti pakaian yang ketat atau seumpamanya.
c. Tidak menyerupai pakaian yang khusus
untuk lelaki.
d. Bukan pakaian agama untuk orang
kafir.
Semoga
Allah subhanahu wata‘ala memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mematuhi
segala perintah dan larangan-Nya termasuk perintah supaya menutup aurat dan
larangan daripada mendedahkan aurat tanpa kebenaran syarak. Amin.
Wallahu ta‘ala a‘lam.
Rujukan
1- أحكام العورة
والنظر بدليل النص والنظر: مساعد قاسم الفالح. مكتبة المعارف للنشر والتوزيع،
الرياض، السعودية. الطبعة الأولى، 1413هـ / 1993م.
2- الإقناع في حل
ألفاظ أبي شجاع (حاشية البجيرمي على الخطيب): الشيخ سليمان البجيرمي. دار الفكر.
الطبعة الأخيرة، 1401هـ / 1981م.
3- الفقه المنهجي على
مذهب الإمام الشافعي: د. مصطفى الخن ود. مصطفى البغا وعلي الشربجي. دار العلوم
الإنسانية، دمشق، حلبوني. الطبعة الأولى، 1410هـ / 1989م.
4- المجموع شرح
المهذب: الإمام أبو زكريا النووي. تعليق: محمد نجيب المطيعي. مكتبة الإرشاد، جدة،
السعودية. بدون عدد الطبعة وتاريخها.
Disediakan
oleh:
Al-Faqir
ila Rahmatillahi wa-Ghufranih: Abu ‘Abdil Wadud bin ‘Abdil Wahhab
Selasa,
6 Jumadal Akhirah 1442 Hijri = 19 Januari 2021 Masihi.
|