Isti'azah

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam (dengan tahi bintang, dilaknat dan dijauhkan daripada segala kebaikan).

Basmalah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

(Aku mulakan hanya) dengan nama Allah Yang Maha Merahmati (seluruh makhluk-Nya di dunia), lagi Maha Mengasihani (di akhirat akan para hamba-Nya yang beriman).

Salam

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ

Semoga keselamatan, kesejahteraan, rahmat dan keberkatan daripada Allah Ta‘ala dilimpahkan ke atas kalian.

Ahlan wasahlan

أَهْلًا وَسَهْلًا وَمَرْحَبًا بِكُمْ جَمِيْعًا فِيْ هٰذِهِ الصَّفْحَةِ الْمَقْصُوْدَةِ مِنْهَا الدَّعْوَةُ إِلَى سَبِيْلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ. هَدَانِيَ اللهُ تَعَالَى وَإِيَّاكُمْ جَمِيْعًا لِدِيْنِهِ الْقَوِيْمِ، وَصِرَاطِهِ الْمُسْتَقِيْمِ، وَنُوْرِهِ الْمُبِيْنِ. وَجَعَلنَا مِنَ الْهُدَاةِ الْمُهْتَدِيْنَ الرَّاضِيْنَ الْمَرْضِيِّيْنَ فِيْ الدَّارَيْنِ. آمِيْنَ، يَا حَيُّ، يَا قَيُّوْمُ، يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.

Selamat datang kalian ke blog ini yang bertujuan untuk berdakwah ke jalan Allah ‘Azza wajalla. Semoga Allah Ta‘ala memberi hidayah kepada saya dan kalian semua kepada agama-Nya yang betul, jalan-Nya yang lurus dan cahaya-Nya yang jelas lagi menerangi, serta menjadikan kita semua sebahagian daripada para hamba-Nya yang memberi hidayah kepada orang lain, mendapat hidayah pada diri sendiri, yang redha kepada Tuhan mereka, lagi diredhai oleh-Nya di dua alam (dunia dan akhirat). Perkenanlah doa kami, wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Mentadbir seluruh makhluk-Nya dengan sendiri-Nya, wahai Tuhan Yang Mempunyai keagungan dan kemuliaan.

Ikhlaskan niat

Marilah Sama-Sama Kita Ikhlaskan Niat kerana Allah Subhanahu wata‘ala

عَنْ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: «إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ. وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ. وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.»

مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ (أَيْ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ رَحِمَهُمَا اللهُ تَعَالَى)

Ertinya: (Diriwayatkan) daripada Abu Hafs ‘Umar bin al-Khottob radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda, ‘Sesungguhnya segala amalan hanyalah (dinilai, dikira dan sah) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Oleh itu, sesiapa yang hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya (yakni hijrahnya itu diterima dan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wata‘ala). Sesiapa yang hijrahnya adalah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kepada seorang wanita yang dia ingin mengahwininya pula, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kepadanya (yakni hijrahnya itu sia-sia di sisi Allah subhanahu wata‘ala dan tidak diterima oleh-Nya).’”

Muttafaq alaih (yakni diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim rahimahumallahu ta‘ala)

19 Januari 2021

Mengenali mazhab Wahhabi, 19.1.2021

MENGENALI MAZHAB WAHHABI (وَهَّابِيٌّ)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Pendahuluan

    Dalam bahasa Arab, mazhab Wahhabi dipanggil al-Wahhabiyyah (اَلْوَهَّابِيَّةُ). Manakala orang yang beraliran ini digelar Wahhabi (وَهَّابِيٌّ). Wahhabiyyah dan Wahhabi ialah nama khas yang dilabelkan ke atas mereka oleh para ulama yang menentang mereka supaya mereka dikenali oleh umat Islam dengan jelas.

    Wahhabi ialah orang Islam yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut sebenar as-Salaf as-Solih dalam bab akidah, fekah dan sebagainya. Mereka tidak mengaku diri mereka sebagai Wahhabi. Sebaliknya, mereka menggunakan nama Salaf yang mulia sebagai gelaran mereka, padahal manhaj dan cara mereka banyak yang bercanggah dengan cara Salaf yang sebenar. Hanya para ulama sahaja yang benar-benar mengetahui baik dan buruk golongan Wahhabi ini.

    Dalam nota ringkas ini, saya berharap saya dapat memberikan sedikit gambaran kepada umat Islam yang prihatin tentang Wahhabi ini supaya kita semua berhati-hati dan mengenali setiap golongan dan mazhab. Dengan itu, insyaallahu taala, kita akan selamat dan tidak terpengaruh dengan keindahan slogan mereka dan kepetahan mereka bercakap melalui TV, radio, ceramah, forum dan sebagainya.

    Namun, catitan ringkas saya ini tidak akan berguna melainkan bagi orang yang belum terjerat dengan Wahhabi dan tidak ta‘assub kepadanya. Jika sudah terpengaruh, biasanya susah untuk dibaiki lagi kerana mereka tidak akan percaya melainkan kepada ulama mereka sahaja. Wallahul hadi ila siratihil mustaqim.

Permulaan Dakwah Wahhabiyyah

    Penggerak utama aliran baru ini ialah Syeikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab yang dilahirkan pada tahun 1115 Hijri (1703 Masihi) di al-‘Uyainah (الْعُيَيْنَةُ), suatu tempat berdekatan Riyadh di Saudi sekarang. Beliau meninggal dunia pada tahun 1206 Hijri (1791 Masihi).[1]

    Dalam menjayakan dakwah beliau, Syeikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab mendakwa bahawa beliau memperjuangkan akidah Salaf dan mengikut aliran Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah. Untuk mengukuhkan pengaruh dan kuasanya, Syeikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab berkerjasama dengan pengasas kerajaan Saudi pada masa itu yang berjuang menentang Khilafah Uthmaniyyah dengan bantuan dan sokongan negara kafir dan musuh Allah Taala, iaitu British.

    Ini satu bukti sejarah bahawa Wahhabiyyah tidak betul kerana mana mungkin negara kafir seperti British yang menentang Khilafah Islam Uthmaniyyah mahu berkerjasama dan menolong pihak yang benar?

    Lihatlah pada hari ini, pihak yang benar-benar berjuang Islam tidak akan ditolong oleh British dan sekutu-sekutunya. Inilah yang dihadapi oleh para pejuang Islam di Chenchen, Gaza, Afghanistan dan lain-lain. Negara-negara kafir hanya menolong pihak yang berguna kepada mereka yang boleh berkerja untuk mereka dan boleh memecahbelahkan umat Islam.

Antara Pendapat-Pendapat Khas Wahhabi

    Saudara dan saudari yang saya kasihi! Golongan Wahhabi mempunyai banyak perbezaan dengan majoriti umat Islam yang berpegang dengan mazhab Asy‘ariyyah dan Maturidiyyah dalam bab akidah, dan dengan mazhab empat dalam bab fekah.

    Puncanya ialah golongan Wahhabi mempunyai cara sendiri dalam beramal dengan al-Quran dan sunnah Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam. Mereka ini bolehlah dianggap sebagai Zhohiriyyah (ظَاهِرِيَّةٌ) masa kini, iaitu satu golongan umat Islam yang berpegang dengan makna yang zahir pada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan kefahaman mereka yang sempit, ta‘assub dan memandai-mandai.

    Mereka tidak rasa bersalah untuk memilih mana-mana pendapat ulama yang berlawanan dengan majoriti ulama. Mereka berbuat demikian dengan alasan mengikut al-Quran dan as-Sunnah dengan cara mereka dan kefahaman mereka sendiri. Akhirnya, banyak hukum yang mereka hendak ubah dan bid‘ahkan. Ramai pula ulama yang mereka hukum sebagai sesat, kaki bid‘ah dan seumpamanya.

    Mereka lebih suka berkelahi dengan para ulama dan orang Islam yang suka beribadat, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Pada masa yang sama, mereka membiarkan musuh-musuh Allah subhanahu wata‘ala yang jelas seumpama cahaya matahari di tengah langit sepeti kuffar Yahudi, Nasrani, Amerika, British dan sebagainya.

    Berikut ialah sebahagian daripada pendapat-pendapat Wahhabi yang bercanggah dengan majoriti ulama Islam sejak dahulu lagi, iaitu:

  1. Ayat-ayat dan hadis-hadis Sifat Allah subhanahu wata‘ala dihuraikan mengikut makna zahirnya serta menyerahkan hakikatnya kepada Allah ta‘ala. Sebagai contoh, mereka berkata, “Allah ta‘ala benar-benar beristiwa’ (اِسْتِوَاءٌ) di atas ‘Arasy dengan Zat-Nya dengan makna berada dan meninggi di atasnya.” Kerana itulah mereka boleh bertanya soalan ini, “Di manakah Allah?” Mereka juga berkata, “Allah Taala benar-benar turun dengan Zat-Nya ke langit dunia setiap malam, berdasarkan beberapa buah hadis.”
  2. Mentakwil ayat-ayat dan hadis-hadis Sifat Allah ta‘ala atau mentafwidhkannya kepada Allah ta‘ala adalah bid‘ah yang sesat.
  3. Tidak ada majaz (مَجَازٌ) dalam Bahasa Arab sama sekali. Oleh itu, majaz juga tiada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Justeru, mereka perpegang dengan makna yang zahir atau makna asal sesuatu ayat al-Quran dan hadis.
  4. Bid‘ah ada satu jenis sahaja, iaitu bid‘ah sesat (بِدْعَةُ ضَلَالَةٍ), dan tiada bid‘ah hasanah (yang baik dan elok) sama sekali.
  5. Hadis daif (ضَعِيْفٌ) ditolak dan tidak boleh diamalkan sama sekali, seperti hadis-hadis talqin mayat selepas ditanam, kelebihan membaca Yasin, kelebihan memakai serban dan seumpamanya.
  6. Taqlid tidak diharuskan sama sekali bagi setiap muslim. Maka setiap orang mestilah beramal dengan apa yang dia fahami benar serta berdalil, sekali pun tidak mengikut empat mazhab utama feqah.
  7. Qunut solat subuh adalah bid‘ah sesat, padahal ia persoalan khilaf yang sudah dibahaskan sejak zaman dahulu dan mempunyai dalil-dalil daripada hadis Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam.
  8. Wirid dan doa beramai-ramai serentak selepas solat adalah bid‘ah sesat.
  9. Mengharamkan perbuatan isbal (إِسْبَالٌ), iaitu melabuhkan kaki seluar, jubah, kain atau sebagainya lebih rendah daripada buku lali, sekalipun tidak ada kesombongan, takabbur dan riyak.
  10. Talqin mayat selepas ditanam adalah bid‘ah sesat dan haram.
  11. Mengharamkan bermusafir ke Madinah Munawwarah untuk menziarahi kubur Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam, begitu juga ke tempat-tempat yang lain daripada tiga buah masjid utama Islam, iaitu Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqso.
  12. Mengharamkan sambutan Maulid Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dan sambutan-sambutan keagamaan yang seumpamanya.
  13. Menghukum amalan tawassul dengan orang yang sudah mati termasuk dengan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, para nabi ‘alaihimussalam, para wali dan sebagainya sebagai syirik dan kufur. Bagi mereka, ramai umat Islam syirik dengan sebab ini. Na‘uzubillahi min zalik.

Beberapa Kesan Wahhabi dalam Masyarakat

    Saudara dan saudari yang saya kasihi! Lantaran cara pemahaman, sifat melampau, pegangan akidah yang berbeza, hukum-hakam yang bercanggah dengan para ulama mazhab empat, maka banyak kesan buruk yang menyedihkan timbul di kalangan umat Islam di semua tempat yang Wahhabi masuk dan bertapak. Berikut saya senaraikan sebahagian kesan buruk tersebut untuk muhasabah kita semua:

  1. Ketegasan yang melampau (التَّشَدُّدُ) dalam agama dan mementingkan pendapat sendiri, sekalipun bercanggah dengan semua ulama lain atau dengan majoriti ulama sejak zaman Salaf.
  2. Tidak menghormati pendapat ulama yang berbeza dengan mereka, sekalipun ulama yang agung seperti Imam an-Nawawi, al-Ghazali, Ibnu Hajar al-Asqolani, as-Subki, al-Qurtubi dan lain-lain rahimahumullah. Mana yang secocok dengan pegangan mereka sahaja, mereka sebut-sebutkan dan jaja ke serata tempat. Mana yang tidak secocok dengan mereka pula pasti mereka menolaknya, cuba sembunyikan faktanya dan tidak suka menyebutnya kepada orang ramai.
  3. Membid‘ahkan dan menghukum sesat akan semua pihak yang bercanggah dengan mereka sama ada dalam bab akidah, feqah mahupun lainnya.
  4. Berkelompok sesama mereka secara ta‘assub dan hanya percaya kepada para ulama mereka sahaja seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, Bin Baz, Ibnu Uthaimin, al-Albani dan para ustaz tempatan yang sealiran dengan mereka sahaja. Jika mereka berkuasa di masjid, surau atau sebagainya, mereka hanya menjemput para ilmuan yang sealiran dengan mereka sahaja untuk menyebarkan lagi mazhab mereka dan mengelakkan kekeliruan dalam hati para pengikut mereka.
  5. Memecahbelahkan masyarakat Islam dengan perkara-perkara khilafiyyah atau far‘iyyah kerana mereka tidak menghormati pendapat orang lain.
  6. Memberi amaran kepada para pengikut mereka terhadap kitab-kitab ulama agung Islam seperti Ihya’ ‘Ulumiddin oleh Imam al-Ghazali, Fathul Bari Syarhu Sohihil Bukhari oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan seumpamanya. Mereka sentiasa berpesan-pesan sesama mereka dengan berkata, “Awasilah bid‘ah-bid‘ah dan kesesatan-kesesatan yang ada dalam kitab-kitab tersebut.” Sebab itulah, mereka bertindak menyaring buku-buku ulama silam, menghukum semula hadis-hadis Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dengan hukum al-Albani, meringkaskan kitab-kitab besar ulama silam seperti Tafsirul Imam Ibni Kathir, Fathul Bari Syarhu Sohihil Bukhari dan lain-lain dengan niat untuk membuang mana-mana kandungan yang tidak sealiran dengan mereka.
  7. Tidak memberi kebebasan kepada para pengikut dan pelajar mereka untuk memilih, berbincang dan mengkaji kitab-kitab penentang mereka kerana takut terpengaruh dan keburukan aliran mereka akan terdedah.
  8. Bebas daripada empat mazhab fekah dan memandang sepi kepada kitab-kitabnya. Mereka hanya memilih apa yang mereka suka sahaja yang sependapat dengan kata-kata para ulama mereka. Mana-mana yang tidak sebulu, mereka akan pinggirkan.
  9. Menentang ilmu tasowwuf secara umum dan menolak semua aliran tarekat dengan alasan semua itu bid‘ah. Akhirnya, orang Wahhabi tiada kehalusan adab Islam, kelembutan hati, sifat tawadhuk dan sebagainya yang sentiasa ada pada diri para ulama dahulu yang memang mengamalkan tasowwuf dalam kehidupan mereka.

Penentang Terkenal Mazhab Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi

    Sejak dahulu lagi, aliran Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi telah ditentang oleh para ulama muktabar yang sezaman dengan mereka, apatah lagi yang datang selepas mereka. Antara para ulama yang terkenal yang menentang aliran ini ialah:

  1. Syaikhul Islam Imam Taqiyyuddin ‘Ali bin ‘Abdil Kafi as-Subki (683-756 Hijri) rahimahullah, seorang ulama ulung mazhab Syafi‘i, yang hidup sezaman dengan Imam Ibnu Taimiyyah (661-728 Hijri). Antara buku-buku karangan Imam as-Subki rahimahullah yang membahaskan kata-kata Ibnu Taimiyyah ialah Syifa’ as-Siqam fi Ziyarati Khairil Anam.[2]
  2. Al-‘Allamah Muhammad Zahid bin al-Hasan al-Kauthari (الْكَوْثَرِيُّ) (1296-1371 Hijri / 1879-1952 Masihi) rahimahullah yang hidup pada zaman Khilafah Uthmaniyyah.[3]
  3. Syeikh Hasan as-Saqqaf rahimahullah, salah seorang ulama masa kini.
  4. Dr. Syeikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti rahimahullah.

Hukum Orang Wahhabi

    Sejak dahulu lagi, sudah timbul perbahasan hangat dan perbezaan pendapat antara para ulama muktabar rahimahumullah tentang hukum orang seperti Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab dan para pengikut mereka sebagaimana berikut:

  1. Sebahagian ulama menghukum mereka sebagai kafir.
  2. Sebahagian ulama pula menyokong, memuji dan terpengaruh dengan mereka.
  3. Sebahagian ulama pula menghukum mereka sebagai sesat dan golongan bid‘ah, tetapi tidak mengkafirkan mereka.
  4. Sebahagian ulama pula tawaqquf, iaitu mengambil jalan tengah dan tidak memberikan kata putus tentang mereka.

    Bagi saya, golongan Wahhabi adalah sama seperti golongan yang lain selepas Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya radhiyallahu ‘anhum. Golongan Wahhabi ada perkara-perkara yang baik dan yang buruk. Antara yang baik pada mereka ialah kemahuan yang kuat pada diri mereka untuk mengikut al-Quran, as-Sunnah dan Salaf. Namun, mereka melampau, keras kepala dan tidak bertolak ansur.

    Manakala antara perkara-perkara buruk yang besar yang ada pada mereka pula ialah mendakwa bahawa Allah subhanahu wata‘ala bertempat di atas ‘Arasy, turun dengan Zat-Nya ke langit dunia, orang Islam menjadi syirik dengan sebab bertawassul dengan Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam, mengharamkan banyak perkara yang khilaf tanpa warak dan takwa kepada Allah subhanahu wata‘ala, dan sebagainya.

    Walaupun begitu, saya tidak setuju dengan tindakan sebahagian umat Islam kini atau sebelum ini yang berani mengkafirkan Imam Ibnu Taimiyyah dan puak Wahhabi kerana perbuatan kafir-mengkafirkan adalah sangat bahaya dan tidak dibenarkan melainkan apabila ada dalil yang jelas yang diijmakkan oleh para ulama seperti orang yang berkata, “Solat lima waktu tidak wajib,” “zina itu halal,” “judi dan zina itu tidak salah,” “tuhan itu bukan Allah sahaja,” “hudud itu tidak wajib,” dan seumpamanya.

    Adapun dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah dan golongan Wahhabi pula, para ulama Islam sejak dahulu lagi tidak ijmak dalam mengkafirkan mereka. Sebab itulah, ada empat pendapat di atas. Jika kita tetap mengkafirkan mereka, maka apa bezanya kita dengan sebahagian Wahhabi yang suka mengkafirkan orang Islam, sehingga ada ustaz Wahhabi yang berani mengkafirkan Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutub dan sebagainya.

    Bertakwalah kita semua kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana bahaya lidah sangat besar kerana kalau kita silap menuduh orang lain sebagai kafir, maka kita pula yang kafir sebagaimana amaran Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis sahih yang berbunyi:

إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لِأَخِيْهِ: يَا كَافِرُ؛ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا.

Maksudnya: Apabila seseorang lelaki (begitu juga wanita) berkata kepada saudaranya (yang muslim), “Wahai si kafir,” maka sesungguhnya salah seorang daripada mereka pasti telah kembali dengan kata-kata itu (yakni telah menjadi kafir. Jika yang dituduh itu memang kafir di sisi Allah Taala, maka dialah yang kafir. Sebaliknya, jika yang dituduh itu tidak kafir, maka penuduh itu pula yang kafir. Nauzubillahi min zalik).[4]

    Oleh itu, marilah kita semua warak dalam bab kafir-menkafirkan ini melainkan dengan sebab-sebab yang telah diijmakkan oleh semua ulama muktabar.

    Insyaallahu ta‘ala, saudara dan saudari yang saya hormati lagi kasihi, pada masa akan datang saya akan kupas isu ini dan isu-isu yang telah disebutkan sepintas lalu dalam artikel ini, satu persatu dengan lebih detail, berdalil dan berfakta untuk renungan kita semua. Insyaallah.

Apa Hukum Solat di Belakang Imam Wahhabi?

    Saya pernah ditanya oleh sebahagian jemaah yang datang ke kuliah saya selepas saya menyentuh persoalan Wahhabi ini, “Ustaz, kalau mazhab di Saudi itu mazhab Wahhabi, maka apa hukum kita solat di belakang imam mereka seperti di Masjid Haram dan Masjid Nabawi?”

    Jawapannya, wallahu ta‘ala a‘lam, ialah fakta pertama yang kita wajar fahami secara logik adalah bukan semua orang di Saudi itu Wahhabi, walaupun mazhab kerajaan Saudi ialah Wahhabi, manakala silibus sekolah, kolej dan universiti di sana juga Wahhabi.

    Hujahnya yang paling mudah ialah semua negara pun sama. Tiada sebuah negara pun yang hanya ada satu agama, satu ideologi, satu parti, satu mazhab, satu cara hidup, satu taraf hidup dan seumpamanya, sekalipun negara itu diperintah secara kuku besi dan diktator. Pasti ada perbezaan yang banyak atau sedikit.

    Ini memang sunnah Allah subhanahu wata‘ala di dunia ini. Bahkan di dalam syurga pun ada banyak darjat dan martabat, tinggi dan rendah, muqarrabin dan lain-lain. Di dalam neraka pun sama juga, azabnya berbagai-bagai tahapnya, na‘uzubillahi min zalik.

    Ini fakta yang pertama. Oleh itu, kita tidak boleh berkata dengan pasti bahawa imam itu atau imam ini adalah seorang Wahhabi tanpa sebarang bukti kukuh. Jika tiada bukti, kita diam sahaja dan berkata, “Allahu a‘lam.”

    Fakta kedua pula, jika benarlah seseorang imam solat itu Wahhabi, maka sesungguhnya dia masih orang Islam dan tidak kafir. Maka solatlah di belakangnya dan lupakanlah ke‘wahhabian’nya. Solat berjemaah kita sah selagi kita tidak berimamkan orang kafir, budak kecil yang belum mumayyiz dan sebagainya.

    Oleh itu, jangan sia-siakan peluang untuk bersolat jemaah dengan puluhan ribu, bahkan jutaan orang Islam di Makkah dan Madinah pada musim haji dan lain-lain. Amatlah rugi kalau kita buat begitu dengan sebab perbezaan mazhab sahaja. Sayang seribu kali sayang. Beginilah kelicikan syaitan dalam menipu ramai manusia melainkan orang yang berilmu dan mendapat hidayah Allah subhanahu wata‘ala sahaja.

Buku-Buku Para Penentang Wahhabi

    Terdapat banyak buku yang ditulis oleh para ulama untuk membahaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah dan golongan Wahhabi, antaranya ialah:

  1. دفع شبه التشبيه بأكف التنزيه: للإمام أبي الفَرَجِ عبد الرحمن ابن الجوزي. تحقيق: الشيخ حسن السقَّاف. دار الإمام النووي، الطبعة الثالثة، 1992م.
  2. السلفية مرحلة زمنية مباركة لا مذهب إسلامي: للدكتور محمد سعيد رمضان البوطي. دار الفكر المعاصر ببيروت، الطبعة الثانية، 1990م.
  3. لزوم طلاق الثلاث دفعة بما لا يستطيع العالم دفعه: للعلامة محمد خضري بن عبد الله بن مايابي الجنكي الشنقيطي، مفتي المدينة المنورة، المتوفى عام 1353هـ. مكتبة الإيمان بالمدينة المنورة، 1989م.

Doa dan Harapan

    Semoga Allah subhanahu wata‘ala memberikan kita ilmu yang berguna, hidayah, rahmat, maghfirah, warak, takwa, rasa hormat kepada orang yang lebih alim, serta menyedari kelemahan dan kejahilan diri sendiri.

    Ya Allah, ya Tuhan kami Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah, jadikanlah kami semua sebahagian daripada ahli syurga-Mu, dan kurniakanlah kepada kami amalan, sifat, adab, akhlak, hati, roh dan jiwa ahli syurga. Lindungilah kami semua daripada api neraka dan segala sifat buruk ahli neraka. Amin, ya Hayyu, ya Qayyum, ya Zaljalali wal-Ikram.

 

Disediakan oleh:

Al-Faqir ila Rahmatillahi wa-Ghufranih: Abu ‘Abdil Wadud bin ‘Abdil Wahhab

Selasa, 6 Jumadal Akhirah 1442 Hijri = 19 Januari 2021 Masihi.



[1] Sila rujuk: al-Mausu‘ah al-Muyassarah 1/164.

[2] Sila rujuk: al-A‘lam oleh az-Zirikli 1/144 & 4/302.

[3] Sila rujuk: al-A‘lam oleh az-Zirikli 6/129.

[4] Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rahimahullah daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dan juga oleh Imam Ahmad dan al-Bukhari rahimahumallah daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma. Sila rujuk: al-Jami‘ as-Soghir oleh Imam as-Suyuti, hadis no. 776.