Mana Yang Betul: Adyanana
atau Dinana?
Soalan:
Assalamualaikum warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saya
nak bertanya, adakah kita sepatutnya menyebut adyanana (أَدْيَانَنَا) atau dinana (دِيْنَنَا) dalam doa yang dibaca selepas membaca
surah Yasin? Terima kasih.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalamu
warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saudara yang saya kasihi, semoga Allah
subhanahu wata‘ala memberi hidayah kepada kita semua ke jalan-Nya yang lurus.
Persoalan ini berpunca daripada salah faham tentang makna perkataan adyanana
(أَدْيَانَنَا) atau dinana (دِيْنَنَا) yang ada dalam doa yang dibaca
selepas membaca surah Yasin.
Dalam bahasa
Arab, perkataan دِيْنٌ digunakan dengan dua makna utama,
iaitu:
1. Agama,
seperti ungkapan: دِيْنُنَا الْإِسْلَامُ ertinya agama kita ialah Islam. Maka perkataan din
dalam ayat ini tidak boleh dijamakkan kerana Islam hanyalah satu agama sahaja.
2. Keagamaan
seseorang, pegangan dan amalan agamanya, seperti ungkapan: هُوَ حَسَنُ الدِّيْنِ ertinya dia seorang yang elok keagamaannya, yakni dia
beragama dengan baik, atau dia berpegang dan beramal dengan agamanya dengan
baik. Jadi, perkataan din di sini boleh dijamakkan bila ramai orang,
kerana setiap orang ada keagamaan masing-masing dan tidak sama dengan keagamaan
orang lain. Maka kita boleh berkata, ‘‘هُمْ
حِسَانُ الْأَدْيَانِ’’ ertinya mereka orang yang elok
keagamaannya.
Oleh itu, menyebut adyanana (أَدْيَانَنَا) dalam doa yang dibaca selepas
membaca surah Yasin adalah tidak salah, bahkan betul dan tepat sekali, iaitu
pada ungkapan:
اَللّٰهُمَّ
إِنَّا نَسْتَوْدِعُكَ أَدْيَانَنَا.
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya
kami memohon Engkau memelihara dan menjaga keagamaan-keagamaan kami, yakni
segala pegangan dan amalan agama kami.
Doa ini
bukanlah bermaksud memohon Allah subhanahu wata‘ala menjaga agama Islam kerana agama
Islam itu memang sentiasa dijaga oleh Allah subhanahu wata‘ala. Tetapi
maksudnya ialah kita memohon Allah subhanahu wata‘ala memelihara keagamaan,
pegangan dan amalan agama kita yang belum pasti betul dan selamat.
Kerana itulah, Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala berdoa
di akhir kitabnya yang berjudul al-Azkar an-Nawawiyyah (الْأَذْكَارُ النَّوَوِيَّةُ) dengan katanya:
وَأَسْتَوْدِعُ اللهَ
الْكَرِيْمَ اللَّطِيْفَ الرَّحِيْمَ مِنِّيْ وَمِنْ وَالِدَيَّ وَجَمِيْعِ أَحْبَابِنَا
وَإِخْوَانِنَا وَمَنْ أَحْسَنَ إِلَيْنَا وَسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ أَدْيَانَنَا
وَأَمَانَاتِنَا وَخَوَاتِيْمَ أَعْمَالِنَا وَجَمِيْعَ مَا أَنْعَمَ اللهُ
تَعَالَى بِهِ عَلَيْنَا.
Ertinya: Aku memohon kepada Allah
Yang Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha Berlemah lembut lagi Maha Mengasihani agar
memelihara dan menjaga daripadaku, daripada dua ibu bapaku, semua orang yang
kami kasihi, saudara-saudara kami, sesiapa sahaja yang telah berbuat baik
kepada kami dan daripada seluruh orang Islam akan keagamaan-keagamaan kami, amanah-amanah
kami, penutup-penutup segala amalan kami dan segala apa yang Allah Taala telah
kurniakan kepada kami.
وَاللهُ
سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ.
Abu ‘Abdil Wadud Wan Muhammad Nasir bin Wan ‘Abdil Wahhab,
malam Khamis, 4 Sya‘ban 1442 Hijriyyah = 17 Mac 2021 Miladiyyah.
Sila layari blog saya: https://ustazwanmohdnasir.blogspot.com/