Mana Yang Betul: Adyanana atau Dinana?
Soalan:
Assalamualaikum warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saya nak bertanya, adakah kita sepatutnya menyebut adyanana (أَدْيَانَنَا) atau dinana (دِيْنَنَا) dalam doa yang dibaca selepas membaca surah Yasin? Terima kasih.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalamu warahmatullahi ta‘ala wabarakatuh. Saudara yang saya kasihi, semoga Allah subhanahu wata‘ala memberi hidayah kepada kita semua ke jalan-Nya yang lurus. Persoalan ini berpunca daripada salah faham tentang makna perkataan adyanana (أَدْيَانَنَا) atau dinana (دِيْنَنَا) yang ada dalam doa yang dibaca selepas membaca surah Yasin.
Dalam bahasa Arab, perkataan دِيْنٌ digunakan dengan dua makna utama, iaitu:
1. Agama, seperti ungkapan: دِيْنُنَا الْإِسْلَامُ ertinya agama kita ialah Islam. Maka perkataan din dalam ayat ini tidak boleh dijamakkan kerana Islam hanyalah satu agama sahaja.
2. Keagamaan seseorang, pegangan dan amalan agamanya, seperti ungkapan: هُوَ حَسَنُ الدِّيْنِ ertinya dia seorang yang elok keagamaannya, yakni dia beragama dengan baik, atau dia berpegang dan beramal dengan agamanya dengan baik. Jadi, perkataan din di sini boleh dijamakkan bila ramai orang, kerana setiap orang ada keagamaan masing-masing dan tidak sama dengan keagamaan orang lain. Maka kita boleh berkata, ‘‘هُمْ حِسَانُ الْأَدْيَانِ’’ ertinya mereka orang yang elok keagamaannya.
Oleh itu, menyebut adyanana (أَدْيَانَنَا) dalam doa yang dibaca selepas membaca surah Yasin adalah tidak salah, bahkan betul dan tepat sekali, iaitu pada ungkapan:
اَللّٰهُمَّ إِنَّا نَسْتَوْدِعُكَ أَدْيَانَنَا.
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon Engkau memelihara dan menjaga keagamaan-keagamaan kami, yakni segala pegangan dan amalan agama kami.
Doa ini bukanlah bermaksud memohon Allah subhanahu wata‘ala menjaga agama Islam kerana agama Islam itu memang sentiasa dijaga oleh Allah subhanahu wata‘ala. Tetapi maksudnya ialah kita memohon Allah subhanahu wata‘ala memelihara keagamaan, pegangan dan amalan agama kita yang belum pasti betul dan selamat.
Kerana itulah, Imam an-Nawawi rahimahullahu ta‘ala berdoa di akhir kitabnya yang berjudul al-Azkar an-Nawawiyyah (الْأَذْكَارُ النَّوَوِيَّةُ) dengan katanya:
وَأَسْتَوْدِعُ اللهَ الْكَرِيْمَ اللَّطِيْفَ الرَّحِيْمَ مِنِّيْ وَمِنْ وَالِدَيَّ وَجَمِيْعِ أَحْبَابِنَا وَإِخْوَانِنَا وَمَنْ أَحْسَنَ إِلَيْنَا وَسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ أَدْيَانَنَا وَأَمَانَاتِنَا وَخَوَاتِيْمَ أَعْمَالِنَا وَجَمِيْعَ مَا أَنْعَمَ اللهُ تَعَالَى بِهِ عَلَيْنَا.
Ertinya: Aku memohon kepada Allah Yang Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha Berlemah lembut lagi Maha Mengasihani agar memelihara dan menjaga daripadaku, daripada dua ibu bapaku, semua orang yang kami kasihi, saudara-saudara kami, sesiapa sahaja yang telah berbuat baik kepada kami dan daripada seluruh orang Islam akan keagamaan-keagamaan kami, amanah-amanah kami, penutup-penutup segala amalan kami dan segala apa yang Allah Taala telah kurniakan kepada kami.
وَاللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ.
Disediakan oleh al-Faqir ila rahmatillahi waridhwanihi waghufranih:
Abu ‘Abdil Wadud Wan Muhammad Nasir bin Wan ‘Abdil Wahhab,
malam Khamis, 4 Sya‘ban 1442 Hijriyyah = 17 Mac 2021 Miladiyyah.
Sila layari blog saya: https://ustazwanmohdnasir.blogspot.com/