Isti'azah

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam (dengan tahi bintang, dilaknat dan dijauhkan daripada segala kebaikan).

Basmalah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

(Aku mulakan hanya) dengan nama Allah Yang Maha Merahmati (seluruh makhluk-Nya di dunia), lagi Maha Mengasihani (di akhirat akan para hamba-Nya yang beriman).

Salam

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ

Semoga keselamatan, kesejahteraan, rahmat dan keberkatan daripada Allah Ta‘ala dilimpahkan ke atas kalian.

Ahlan wasahlan

أَهْلًا وَسَهْلًا وَمَرْحَبًا بِكُمْ جَمِيْعًا فِيْ هٰذِهِ الصَّفْحَةِ الْمَقْصُوْدَةِ مِنْهَا الدَّعْوَةُ إِلَى سَبِيْلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ. هَدَانِيَ اللهُ تَعَالَى وَإِيَّاكُمْ جَمِيْعًا لِدِيْنِهِ الْقَوِيْمِ، وَصِرَاطِهِ الْمُسْتَقِيْمِ، وَنُوْرِهِ الْمُبِيْنِ. وَجَعَلنَا مِنَ الْهُدَاةِ الْمُهْتَدِيْنَ الرَّاضِيْنَ الْمَرْضِيِّيْنَ فِيْ الدَّارَيْنِ. آمِيْنَ، يَا حَيُّ، يَا قَيُّوْمُ، يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.

Selamat datang kalian ke blog ini yang bertujuan untuk berdakwah ke jalan Allah ‘Azza wajalla. Semoga Allah Ta‘ala memberi hidayah kepada saya dan kalian semua kepada agama-Nya yang betul, jalan-Nya yang lurus dan cahaya-Nya yang jelas lagi menerangi, serta menjadikan kita semua sebahagian daripada para hamba-Nya yang memberi hidayah kepada orang lain, mendapat hidayah pada diri sendiri, yang redha kepada Tuhan mereka, lagi diredhai oleh-Nya di dua alam (dunia dan akhirat). Perkenanlah doa kami, wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Mentadbir seluruh makhluk-Nya dengan sendiri-Nya, wahai Tuhan Yang Mempunyai keagungan dan kemuliaan.

Ikhlaskan niat

Marilah Sama-Sama Kita Ikhlaskan Niat kerana Allah Subhanahu wata‘ala

عَنْ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: «إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ. وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ. وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا؛ فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.»

مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ (أَيْ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ رَحِمَهُمَا اللهُ تَعَالَى)

Ertinya: (Diriwayatkan) daripada Abu Hafs ‘Umar bin al-Khottob radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda, ‘Sesungguhnya segala amalan hanyalah (dinilai, dikira dan sah) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Oleh itu, sesiapa yang hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya (yakni hijrahnya itu diterima dan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wata‘ala). Sesiapa yang hijrahnya adalah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kepada seorang wanita yang dia ingin mengahwininya pula, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kepadanya (yakni hijrahnya itu sia-sia di sisi Allah subhanahu wata‘ala dan tidak diterima oleh-Nya).’”

Muttafaq alaih (yakni diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim rahimahumallahu ta‘ala)

14 Januari 2021

Berapakah umur 'Aisyah radhiyallahu 'anha ketika berkahwin dengan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam? 14.1.2021

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

BERAPAKAH UMUR ‘AISYAH RADHIYALLAHU ‘ANHA KETIKA BERKAHWIN DENGAN RASULULLAH SOLLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM?

Soalan:

Ustaz, berapakah sebenarnya umur Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha semasa berkahwin dengan Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam? Betulkah beliau berumur 6 tahun semasa itu? Ada orang mendakwa bahawa ini adalah cerita rekaan puak Syi‘ah yang hendak memburuk-burukkan Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha kerana benci kepada ayahnya, Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq radhiyallahu ‘anhu? Mereka berkata bahawa sebenarnya umur Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha ketika itu ialah 19 atau 18 tahun. Betulkah demikian, ustaz? Saya harap ustaz boleh jelaskan perkara yang sebenarnya. Terima kasih.

Jawapan:

Saudara yang dikasihi, semoga Allah subhanahu wata‘ala menambah kepada kita semua kefahaman yang mendalam tentang agama-Nya dan mengurniakan kita ilmu yang berguna kepada kita di dunia dan akhirat. Amin.

Sebenarnya kisah perkahwinan Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dengan Nabi kita, Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam ketika berumur enam tahun adalah sebuah kisah yang benar dan bukan direka-reka oleh puak Syi‘ah.

Di sini saya akan sebutkan dua buah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim rahimahumallah tentang kisah ini:

1.       Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan dalam kitab Sohih beliau (hadis no. 4721):

عَنْ عُرْوَةَ رَحِمَهُ اللهُ قَالَ: «تَزَوَّجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، وَهِيَ بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ. وَبَنَى بِهَا وَهِيَ بِنْتُ تِسْعٍ. وَمَكَثَتْ عِنْدَهُ تِسْعًا.»

Daripada ‘Urwah (bin az-Zubair bin al-‘Awwam) rahimahullah bahawa beliau berkata, “Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah berkahwin dengan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha ketika beliau berumur enam tahun. Baginda tinggal bersamanya ketika beliau berusia sembilan tahun. Beliau tinggal bersama baginda selama sembilan tahun (sehingga baginda wafat).”

2.      Imam Muslim rahimahullah pula meriwayatkan dalam kitab Sohih beliau (hadis no 2550):

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: «تَزَوَّجَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهِيَ بِنْتُ سِتٍّ. وَبَنَى بِهَا وَهِيَ بِنْتُ تِسْعٍ. وَمَاتَ عَنْهَا وَهِيَ بِنْتُ ثَمَانَ عَشْرَةَ.»

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa beliau berkata, “Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam berkahwin dengannya (yakni dengan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha) ketika beliau berumur enam tahun. Baginda tinggal bersamanya ketika beliau berumur sembilan tahun. Baginda wafat meninggalkannya pula ketika beliau berusia lapan belas tahun.”

Saudara yang dikasihi, kedua-dua buah hadis yang sahih ini menjadi hujah yang jelas bahawa Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

1.         Berusia enam tahun semasa berkahwin dengan Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam.

2.        Berusia sembilan tahun semasa mula tinggal bersama baginda.

3.        Sempat hidup bersama baginda selama sembilan tahun sehingga baginda wafat.

4.        Berusia lapan belas tahun semasa baginda wafat.

Apa Kata Para Ulama?

Antara para imam dan ulama besar yang menyebut perkara ini ialah Imam an-Nawawi (631-676 Hijri) rahimahullah. Beliau berkata dalam buku beliau, Tahzibul Asma’i  wal-Lughat (1/933),

روى البخاري رحمه الله في صحيحه في باب مناقب خديجة رضي الله عنها عن عروة رحمه الله عن عائشة رضي الله عنها قالت: «تزوجني رسول الله صلى الله عليه وسلم بعد خديحة رضي الله عنها (أي بعد وفاتها) بثلاث سنين.» وروى البخاري رحمه الله أيضًا في باب مناقب عائشة رضي الله عنها عن عروة رحمه الله قال: «تُوُفِّيَتْ خديجة رضي الله عنها قبل مَخْرَجِ رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى المدينة بثلاث سنين. فلَبِثَ سنتَيْنِ أو قريبًا من ذلك، فنكح عائشةَ رضي الله عنها وهي بنتُ ست. وبنى بها وهي بنتُ تسع سنِيْن.»

Ertinya: Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan dalam kitab Sohih beliau dalam Bab: Sifat-sifat kepujian dan kelebihan Khadijah radhiyallahu ‘anha, daripada ‘Urwah rahimahullah daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa beliau berkata, “Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam berkahwin denganku tiga tahun selepas (kewafatan) Khadijah radhiyallahu ‘anha.” Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan juga dalam Bab: Sifat-sifat kepujian dan kelebihan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, daripada ‘Urwah rahimahullah bahawa beliau berkata, “Khadijah radhiyallahu ‘anha wafat tiga tahun sebelum Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam keluar berhijrah ke Madinah. (Selepas kewafatan Khadijah radhiyallahu ‘anha), baginda tinggal selama dua tahun atau hampir dua tahun lalu baginda mengahwini ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha ketika beliau berusia enam tahun. Baginda tinggal bersamanya ketika usianya sembilan tahun.

      Seterusnya, dalam buku yang sama (1/943, biodata no. 1180), semasa menyebut biodata Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Imam an-Nawawi rahimahullah berkata,

تزوجها النبي صلى الله عليه وسلم بمكة قبل الهجرة لسنتين في قول أبي عبيدة رحمه الله. وقال غيره: بثلاث سنين. وقيل: سنة ونصف أو نحوها؛ وهي بنت ست سنين. وقيل: سبع. والأول أصح. وبَنَى صلى الله عليه وسلم بها بعد الهجرة بالمدينة بعد مُنْصَرَفِه من بدرٍ في شوالِ سنةِ اثنتين، بنتَ تسع سنين. وقيل: بنى بها بعد الهجرة بسبعة أشهر؛ وهو ضعيف. وقد أوضحتُ ضَعْفَه في أول شرح صحيح البخاري.

Ertinya: Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam mengahwini beliau (iaitu ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha) di Mekah dua tahun sebelum Hijrah, berdasarkan kata-kata Imam Abu ‘Ubaidah rahimahullah. Para ulama lain berkata, “Tiga tahun sebelum Hijrah.” Ada pula yang berkata, “Setahun setengah atau lebih kurang tempoh tersebut.” Ketika itu, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berusia enam tahun. Ada yang berkata, “Tujuh tahun.” Tetapi pendapat yang pertama (iaitu enam tahun) itu lebih sahih. Kemudian baginda tinggal bersama beliau selepas Hijrah di Madinah selepas baginda beredar pulang dari Perang Badar pada bulan Syawwal tahun ke-2 Hijrah semasa usianya sembilan tahun. Ada yang berkata, “Baginda tinggal bersamanya tujuh bulan selepas Hijrah.” Pendapat ini lemah. Saya telah pun menjelaskan kelemahan pendapat ini di awal Syarhu Sohihil Bukhari.

Adakah Berkahwin dengan Gadis Kecil Suatu Kecelaan?

Dakwaan bahawa kisah perkawinan ini direka-reka oleh puak Syi‘ah untuk memburuk-burukkan Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha kerana kebencian mereka kepada bapanya, Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq radhiyallahu ‘anhu adalah tidak benar dan tidak logik.

Apakah salahnya berkahwin dengan gadis yang masih kecil usianya jika tiada sebarang unsur paksaan, bahkan dengan keredhaan semua pihak dan tiada unsur kezaliman? Apatah lagi yang berkahwin dengannya ialah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam sendiri. Pastilah baginda yang bersifat rahmah itu tahu tentang kesesuaian Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha untuk dikahwini oleh baginda.

Nasihat Umum

Apabila terdapat dalil yang sahih dan penjelasan para ulama muktabar seperti para Imam an-Nawawi, al-Qurtubi, al-Ghazali, as-Suyuti dan ramai lagi rahimahumullah, maka setiap muslim wajiblah menerima, memahami serta berhujah dengan dalil dan penjelasan mereka.

Ini bertepatan dengan cara Ahlussunnati wal-Jama‘ah yang berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah, di samping menghormati para ulama yang merupakan pewaris para nabi ‘alaihimussalam serta berbaik sangka kepada mereka sekalipun mereka tidak menyebut apa-apa dalil.

Ini kerana para ulama yang muktabar rahimahumullah amatlah berhati-hati dalam bercakap, berfatwa dan menulis kerana ilmu adalah amanah yang amat besar di sisi Allah subhanahu wata‘ala dan mereka pula telah menunaikan amanah tersebut dengan sempurna.

Oleh itu, apa yang mereka sebutkan walaupun kita tidak tahu dalilnya, hendaklah kita terima dengan senang hati, baik sangka dan berwaspada daripada menyangkalnya tanpa hujah yang jelas kerana sesungguhnya setiap bidang agama, dunia mahupun akhirat ada ahli dan pakar masing-masing yang harus dihormati, dijadikan rujukan dan didengar kata-kata mereka oleh orang yang bukan ahli dan bukan pakar seperti kita semua pada hari ini.

Beruntunglah sesiapa yang sedar tentang kedudukan diri sendiri dalam segala bidang serta mengakui kelemahan dan kejahilan diri sendiri lalu meletakkan diri sendiri di tempat yang sepatutnya serta meletakkan para ulama muktabar pula di tempat yang selayaknya. Allah subhanahu wata‘ala berfirman,

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لَا يَعْلَمُوْنَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ.

سُوْرَةُ الزُّمَرِ: الْآيَةُ 9

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam),  ‘‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui? (Jawabnya ialah pastilah tidak sama antara mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat). Sesungguhnya yang mengambil peringatan hanyalah orang-orang yang berakal fikiran.

Surah az-Zumar: ayat 9

Semoga Allah subhanhu wata‘ala memberikan kita taufiq dan hidayah ke jalan-Nya yang lurus lagi diredhai oleh-Nya dalam segala perkara agama, dunia dan akhirat. Amin. Wallahu a‘lam.

Bahan Rujukan

1-   تهذيب الأسماء واللغات: الإمام أبو زكريا محيي الدين بن شرف النووي (المتوفى 676هـ). تحقيق: مصطفى عبد القادر عطا - في المكتبة الشاملة.

2-   الجامع الصحيح المسند من حديث رسول الله صلى الله عليه وسلم وسننه وأيامه (صحيح البخاري): الإمام أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة البخاري (المتوفى 256هـ) - في المكتبة الشاملة.

3-   الجامع الصحيح المسمى صحيح مسلم: الإمام أبو الحسن مسلم بن الحجاج القشيري النيسابوري (المتوفى 261هـ) - في المكتبة الشاملة.

 

Disediakan oleh:

Al-Faqir ila Rahmatillahi wa-Ghufranih: Abu ‘Abdil Wadud bin ‘Abdil Wahhab,

petang Selasa, 6 Jumadal Akhirah 1442 Hijri = 19 Januari 2021 Masihi.